Sunday, 1 July 2018


Setelah sebulan berpuasa , Aidilfitri menjelang….

Kemeriahan Aidilfitri masih lagi dirasai dan tentunya ramai yang kini sedang mengunjungi rumah terbuka yang diadakan oleh saudara mara mahupun sahabat. Jadi, jangan lupa untuk jaga kelakuan anda ketika berkunjung ke rumah terbuka.

Di sini, ada 10 adab ketika berkunjung ke rumah terbuka atau jemputan sewaktu raya:

1) Periksa Tarikh Dan Masa
Sebelum anda membuat kunjungan ke rumah terbuka adalah lebih baik jika anda memastikan tarikh dan masa yang telah dimaklumkan oleh tuan rumah itu adalah betul. Ini untuk memastikan agar tuan rumah lebih bersedia untuk menyambut kedatangan anda. Pastikan juga anda tidak datang berkunjung terlalu awal kerana tuan rumah pasti ingin meluangkan masa bersama ahli keluarganya terlebih dahulu.

2) Pastikan Jemputan
Jika anda diberikan kad undangan, pastikan siapa yang boleh anda bawa bersama sewaktu majlis rumah terbuka. Mungkin tuan rumah hanya menjemput anda seorang atau pasangan sahaja dan jika dia menjemput ahli keluarga anda maka ia tidak menjadi sebarang masalah. Perkara ini perlu diambil berat kerana tuan rumah mungkin sudah membuat persiapan dan anggaran berapa ramai kunjungan yang dijemput untuk memastikan makanan yang disediakan adalah mencukupi.
  
3) Berjumpa Dengan Tuan Rumah Dan Ahli Keluarga
Sebaik sahaja tiba, janganlah terus meluru ke meja hidangan tanpa berjumpa dengan tuan rumah terlebih dahulu. Bertegur sapalah dengan tuan rumah dan dengan semua ahli keluarga tuan rumah yang hadir pada majlis rumah terbuka itu.

4) Pantau Kelakuan Anak Anda
Jika anda bercadang untuk membawa anak kecil ke kunjungan rumah terbuka maka pastikan anda pantau kelakuan anak anda. Jangan biarkan anak anda membuat kotor di rumah tuan rumah. Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk mendidik anak anda supaya menjaga kelakuan mereka ketika berada di tempat awam atau ketika di rumah orang lain. Didik mereka agar makan dengan sopan supaya mereka tidak mengotorkan rumah tuan rumah dan akhirnya menambahkan kerja mereka untuk mengemaskan rumah di kemudian hari.

5) Makan Berpada-pada
Makan jangan terlalu ikutkan nafsu. Makan sekadar yang anda mampu dan jangan tamak atau gelojoh. Jika anda lihat ramai yang sedang bersesak untuk mengambil makanan, jangan anda keruhkan keadaan sebaliknya bersabar dan biarkan yang lain mengambil makanan terlebih dahulu.

6) Jangan Mengadu Kalau Makanan Habis
Jangan sesekali mengadu sekiranya makanan yang disediakan habis. Sebagai manusia biasa, tuan rumah hanya mampu merancang dengan baik untuk menjamu tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Banyakkan bersabar dan jika anda masih berasa lapar, anda boleh pulang ke rumah untuk menjamu selera lagi.
  
7) Elakkan Duduk Terlalu Lama
Elakkan dari menghabiskan masa yang terlalu lama di rumah terbuka. Luangkan masa lebih kurang 10 minit ke 20 minit atau mengikut kesesuaian ketika berada di rumah terbuka. Tuan rumah biasanya akan sibuk melayan pengunjung yang lain. Jadi beransur pulang dengan cepat untuk memberikan tempat kepada pengunjung lain yang datang.

8) Beri Duit Raya
Kebiasaannya, tuan rumah yang akan memberikan duit raya kepada anak anda tetapi tidak salah jika anda juga memberikan duit raya kepada anak tuan rumah apabila berkunjung ke rumah terbuka.

9) Jangan Benarkan Anak Membuka Sampul Duit Raya
Pastikan anak anda tidak membukasampul duit raya di hadapan khayalak ramai mahupun di depan tuan rumah. Situasi ini tidak disenangi oleh tuan rumah kerana mungkin tuan rumah yang kurang berada hanya dapat memberi jumlah duit raya yang sedikit. Pastikan anak anda tidak membandingkan jumlah duit raya yang diterimanya di setiap kunjungan ke rumah terbuka. Ini adalah sikap yang kurang baik.

10) Pulang Dengan Senyuman
Jangan lupa untuk maklumkan kepada tuan rumah jika anda sudah mahu pulang atau meninggalkan majlis rumah terbuka itu. Jangan terus pulang tanpa berkata apa kepada tuan rumah. Ucapkan terima kasih kepada tuan rumah atau undangan dan layanan yang diberikan.

Belum terlambat untuk kami daripada Panitia Agama Islam SKTPP untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri…
                             “”Minal Aidil Wal Faizin…””

Disediakan oleh:
Ustazah Nurulhuda Hasbullah


Wednesday, 23 May 2018

Aktiviti Ihya' Ramadan 2018

Assalamualaikum dan salam kasih sayang.

Salam Ramadan.
Salam bulan kemuliaan, semoga kita mendapat keberkatannya.
Syukur alhamdulillah, segala puji hanya layak untuk Rabbul Izzati, aktiviti Ihya' Ramadan berjalan seperti yang dirancang.
Tahniah Panitia Pendidikan Islam atas penganjuran aktiviti yang bermanfaat ini.
Semoga anak- anak SKTPP benar-benar menghayati Ramadan sebagai bulan membaiki diri serta menyuci jiwa.

Sebagai pengisian aktiviti Ihya' Ramadan 2018, kali ini guru-guru Pendidikan Islam mengadakan aktiviti yang benar-benar menyeronokkan serta dapat menambah ilmu pengetahuan murid-murid SKTPP.
Aktiviti yang dapat dijalankan  adalah Cinta Rasul.

- Cinta Rasul,
Aktiviti ini dijalankan pada waktu rehat. Murid- murid berkumpul di Dewan Perdana SKTPP dan guru-guru Pendidikan Islam menayangkan dan menceritakn satu kisah nabi. Alhamdulillah, murid-murid terkawal rapi. Mereka seronok menghayati kisah nabi yang diceritakan oleh guru-guru Pendidikan Islam. Lebih menyeronokkan lagi murid-murid teruja mendapat hadiah dari soalan-soalan kuiz yang dilontarkan oleh guru.

Syabas dan tahniah guru-guru Pendidikan Islam atas inisiatif menyemarakkan lagi rasa cinta pada rasul dan ketaatan pada agama.


Aktiviti-aktiviti program Jom Dakwah 2018


Seronok..murid dapat menjawab soalan kuiz dan menerima hadiah.

Tekun...murid-murid mendengar kisah nabi.





Bijak...Ada masa terluang, murid-murid pandai mengurus sendiri kumpulan tadarus Al-Quran.

Bagus... murid ini dapat menghafal ayat Quran tentang larangan Allah kepada Nabi Adam agar
 tidak mendekati pokok khuldi.


Kami guru-guru Pendidikan Islam SKTPP berharap semoga anak-anak ini terus memanfaatkan segala aktiviti yang dijalankan agar jiwa mereka dipenuhi dengan cahaya keimanan dan kepatuhan kepada Ilahi seterusnya menjadi insan yang cemerlang lagi berguna untuk keluarga dan agamanya.
InshaAllah.

Disediakan oleh,
Ustazah Norziani Zubir

Tuesday, 15 May 2018

Ramadan Bakal Menjelma..

Ramadan Bakal Menjelma..

Jom Siapkan diri kita dengan:

PERTAMA:
Berdoa Dipertemukan Ramadhan
Banyakkan berdoa agar diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan. Buka setakat bertemu, bahkan agar Ramadhannya penuh makna. Demikian amalan para Salafussoleh. Antara rangkap doa yang dipanjatkan:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ ، وَسَلِّمْ لِي رَمَضَانَ ، وَتَسَلِّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah, serahkan diriku ini kepada Ramadhan, serahkan Ramadhan kepadaku, dan terimalah (amalan) Ramadhan daripadaku.”

KEDUA:
Azam Tadabbur Al-Quran
Ramadhan bulan Al-Quran. Sambutlah bulan Ramadhan dengan membanyakkan bacaan Al-Quran.

Pesan Nabi Muhammad S.A.W: “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran akan memberi syafaat kepada tuannya pada hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

KETIGA:

Rancang Ramadhan Terbaik
Sebelum mula berpuasa, paling utama niat untuk menjadikan Ramadhan tahun ini adalah yang sangat terbaik. Jadi, harus ada pelan tindakannya. Buat jadual sepanjang Ramadhan dan rancang aktiviti sepanjang Ramadhan juga.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesiapa yang berpuasa dengan iman dan mengharapkan reda Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

KEEMPAT:
Lebatkan Dengan Taubat
Bagaimana prestasi amalan kita sejak Ramadhan yang lepas? Masya-Allah, azam untuk beramal selepas Ramadhan terbiar. Banyaknya salah silap yang dilakukan sepanjang tahun ini.

Maka dahului kedatangan Ramadhan kali ini dengan taubat selebat-lebatnya. Benar, pintu taubat sentiasa terbuka. Allah S.W.T suka orang yang bertaubat. Sabda Nabi S.A.W: “Allah S.W.T sangat gembira dengan taubat seseorang pada saat taubatnya. Kegembiraan itu lebih daripada kegembiraan seseorang yang bermusafir di tengah-tengah padang kemudian tunggangannya terlucut lari bersama segala bekalan makan minumnya. Dia pun berputus asa, hanya mampu duduk berteduh di bawah pokok. Tiba-tiba tunggangannya ada di tepinya lalu segera dia memegang tali kekangnya.”

Lantas dia mengucapkan: “Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu!” dia tersasul kerana sangat gembira.” (Riwayat Bukhari & Muslim)


Mustajabnya Ramadhan..

Allah S.W.T menetapkan perintah berpuasa Ramadhan dalam Surah Al-Baqarah bermula ayat 183 – 187. Menariknya dalam ayat 186 Allah menyebut tentang doa: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kamu tentang-Ku, katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan doa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka laksanakan perintah-Ku dan berimanlah kepada-Ku, moga kamu selalu mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah 2:186)

Sesungguhnya manusia dalam hidupnya sering menemui kesusahan, kesempitan, kekurangan harta, ketakutan dan seumpanya sangat memerlukan pertolongan. Justeru Allah yang sangat mengenali diri insan lemah ini menganjurkan supaya berdoa dan memohon pertolongan kepada-Nya agar keluar dari segala kesukaran hidup dan diberi kekuatan khususnya dalam bulan Ramadhan.

Disediakan oleh:
Puan Nurulhuda Binti Hasbullah
Ketua Panitia Agama Islam

Tuesday, 20 March 2018

Kelebihan Bulan Rejab

       Umat Islam digalakkan beribadat sebanyak mungkin dalam bulan Rejab sebagai satu latihan sebelum mereka menghadapi bulan Ramadan kerana pada bulan ini Allah SWT banyak memberikan Rahmat-Nya.

       Ia adalah permulaan bulan mulia dan bagi mempertingkatkan ibadat dan ketaqwaan, terutama melipat-gandakan amal soleh seperti istighfar dan puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda:

 “Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah perbuatan maksiat dalam bulan mulia, iaitu Rejab.”.

      Rejab sebagai bulan penebus dosa serta menambah ganjaran pahala juga mempunyai banyak kelebihan dan bermanfaat. 

    Beberapa amalan yang baik dilakukan dalam bulan Rejab ialah:
  • Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
  • Meneguhkan jiwa dan keimanan dengan memperbanyak bacaan al-Quran.
  • Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan beristighfar dan zikir
  • Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat, puasa dan bersedekah
  • Mohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
  • Menginsafkan diri dengan membaca atau mendengar peristiwa Israk dan Mikraj, kisah teladan perjuangan Rasulullah dan sirah Islam lain.


Saturday, 10 March 2018

Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-Sekolah Daerah Sepang 2018

Pada hari Sabtu bersamaan 10 Mac 2018, telah berlangsung Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-Sekolah (MTQSS) Daerah Sepang di SK Taman Putra Perdana. Majlis ini adalah salah satu program tahunan yang diadakan oleh pihak PPD Sepang untuk mencari bakat-bakat baru dalam kalangan murid-murid di daerah Sepang dalam beberapa kemahiran iaitu tilawah al Quran, hafazan, azan, bercerita dan menulis khat. Sebagai hos pertandingan, SKTPP telah bertindak menyediakan venue-venue pertandingan yang serba lengkap dan selesa untuk hakim dan para peserta. Sebanyak 11 venue pertandingan telah disediakan yang merangkumi bilik-bilik darjah, makmal komputer, surau serta Terminal Muafakat yang digunakan sebagai bilik hakim.

Seramai 250 orang peserta dari sekolah-sekolah di daerah Sepang telah menyertai pertandingan ini. Ianya termasuk peserta dari SKTPP sendiri yang menghantar wakil dalam setiap pertandingan yang dijalankan. Pertandingan ini juga merangkumi dua kategori peserta iaitu murid aliran perdana dan murid aliran Pendidikan Khas (PPKI). Atur cara majlis adalah seperti berikut :

1. Pendaftaran
Majlis ini telah bermula seawal 8.00 pagi iaitu sesi pendaftaran bagi setiap peserta yang hadir. Ianya termasuk guru-guru pengiring dan juga hakim yang telah dilantik oleh pihak PPD Sepang. Jawatankuasa Pendaftaran dalam kalangan guru SKTPP sendiri telah bertugas menyediakan ruang pendaftaran yang teratur dan mudah akses.

Murid SKTPP yang bertindak menjadi urusetia

Guru pengiring peserta mendaftar kehadiran

JK Pendaftaran ceria melaksanakan tugas

2. Pertandingan bermula
Peserta berkumpul di venue pertandingan masing-masing yang diiringi oleh urusetia pertandingan. Setiap pertandingan yang dipertandingkan dijalankan secara serentak di venue masing-masing. Pengacara majlis dan penjaga masa bagi setiap venue adalah dari kalangan guru SKTPP. Manakala hakim adalah guru dari sekolah sekitar daerah Sepang yang dipilih oleh pihak PPD. Di bawah disertakan beberapa gambar pertandingan yang sempat diambil...

Papan tanda arah venue pertandingan

Pertandingan bercerita (L) yang dijalankan di Bilik Tayangan
Ujana Ilmu SKTPP
Pertandingan Tilawah al-Quran (L) yang dijalankan 
di kelas 4 Titanium

Pertandingan Hafazan al-Quran (L) yang dijalankan 
di kelas 4 Magnesium

Pertandingan Bercerita (P) yang dijalankan 
di kelas 4 Ferum

Pertandingan Hafazan (P) yang dijalankan 
di Bilik Muzik

Pertandingan Tilawah al-Quran (P) yang dijalankan 
di Makmal Komputer

Pertandingan Azan (PPKI) yang dijalankan di Surau

Pertandingan Menulis Khat Terbuka yang dijalankan 
di kelas 4 Elektrum

Pertandingan Bercerita dan Syarahan (PPKI) yang dijalankan 
di kelas 4 Aurum

3. Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah
Majlis Penutupan telah dilangsungkan di Dewan Perdana SKTPP. Majlis ini dikelolai oleh Ustaz Mohd Hadri sebagai Pengerusi Majlis. Atur cara Majlis Penutup adalah seperti berikut:
 - Nyanyian Lagu Negaraku
 - Ucapan Guru Besar SKTPP, Puan Rohaidah binti Mohd Ali
 - Ucapan Perasmian Penutupan oleh Timbalan Pegawai  Pendidikan Daerah Sepang, Tn Hj Mutalib bin Tomran
 - Rumusan oleh Ketua Hakim MTQSS 
 - Penyerahan Keputusan Pertandingan kepada Pengerusi Majlis
 - Pengumuman pemenang

Di bawah disertakan gambar sepanjang Majlis Penutupan berlangsung ;

Antara atur cara utama dalam Majlis Penutupan

Antara pemenang yang berjaya membawa pulang trofi kemenangan

Barisan pemenang bergambar bersama Ustaz Faizal

Penyampaian cenderamata dari pihak SKTPP kepada PPD 
dan begitu juga sebaliknya

Pasukan PPKI SKTPP yang berjaya mendapat Johan Keseluruhan
bagi kategori Aliran Pendidikan Khas. Tahniah !

Guru-guru SKTPP yang bertugas penuh ceria

Guru SKTPP sebagai JK Pelaksana

Barisan Ketua Pelaksana MTQSS 2018

Antara barisan guru SKTPP yang bertungkus-lumus menjayakan MTQSS 2018 

Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada semua pemenang pertandingan yang dipertandingkan. Sudah semestinya juga setinggi-tinggi tahniah kepada barisan JK Pelaksana MTQSS 2018 yang terdiri daripada seluruh warga SKTPP. Tn Hj Mutalib dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih dan sangat berpuas hati dengan komitmen pihak SKTPP dalam menjadi hos MTQSS 2018. Beliau juga menyatakan ini adalah hos MTQSS yang terbaik setakat ini bagi peringkat Daerah Sepang kerana setiap venue pertandingan yang disediakan amatlah kondusif dan menarik. Layanan yang diberikan oleh tuan rumah juga sangat baik. Tahniah barisan JK Pelaksana ! Tahniah warga SKTPP ! Semoga dengan berakhirnya MTQSS ini dapat menjadikan kita lebih baik lagi dalam tugasan yang mendatang. Wallahualam.

Berikut merupakan keputusan pertandingan-pertandingan yang berlangsung :

Kategori Perdana :

Tilawah al-Quran (L) :
Johan ; SK Salak
Naib Johan ; SK Cyberjaya
Ketiga ; SK KLIA

Tilawah al-Quran (P) :
Johan ; SK Sg Pelek
Naib Johan ; SK Cyberjaya
Ketiga ; SK KLIA

Hafazan al-Quran (L) :
Johan ; SK Dengkil
Naib Johan ; SK KLIA
Ketiga ; SK Cyberjaya

Hafazan al-Quran (P) :
Johan ; SK Cyberjaya
Naib Johan ; SK Dengkil
Ketiga ; SK Taman Seroja

Bercerita (L) :
Johan ; SK Kg Baharu Lanjut
Naib Johan ; SK Sg Merab Luar
Ketiga ; SK Desa Putra

Bercerita (P) :
Johan ; SK Bandar Baru Salak Tinggi
Naib Johan ; SK Kg Baharu Lanjut
Ketiga ; SK KLIA

Kategori PPKI :

 Johan Keseluruhan Sekolah Rendah : SK Taman Putra Perdana
 Johan Keseluruhan Sekolah Menengah : SMK Dato Abu Bakar Baginda

Thursday, 8 March 2018

Mesyuarat Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Daerah Sepang 2018 Bil. 2

Hari      : Khamis
Tarikh   : 8 Mac 2018
Tempat : Terminal Muafakat SKTPP
Masa    : 12.30 tengah hari - 1.30 petang

Mesyuarat ini dijalankan bertujuan untuk memastikan persiapan perjalanan MTQSS Daerah Sepang 2018 berjalan dengan lancar. Mesyuarat yang dihadiri semua guru SKTPP selaku JK Pelaksaa MTQSS ini turut disertai pegawai-pegawai PPD Sepang iaitu Ustaz Mohd Faizal bin Husin (Penolong PPD j-QAF), Ustazah Norina binti Nordin (Penyelia Kanan Pendidikan Islam) dan Ustaz Muhammad Emre bin Abdul Razak (Penyelia Pendidikan Islam). Antara pengisian mesyuarat yang dijalankan adalah seperti berikut :

1. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ustazah Nurul Huda binti Hasbullah selaku Ketua Panitia Pendidikan Islam SKTPP

2. Ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SKTPP Puan Rohaidah binti Mohd Ali

3. Pembentangan laporan persiapan oleh setiap Ketua AJK Pelaksana

4. Perkara berbangkit

Di bawah disertakan gambar sepanjang mesyuarat berlangsung :

Puan Rohaidah sedang memberi ucapan alu-aluan kepada semua 
yang hadir

Antara guru yang hadir  untuk membentang
laporan AJK masing-masing

Perbincangan diteruskan

Guru-guru berbincang dan memberi pendapat

5. Mesyuarat tamat

Sebelum berakhirnya mesyuarat, Ustaz Faizal selaku wakil PPD telah memberi sedikit ucapan dan meluahkan rasa berpuas hati dengan setiap persiapan yang telah dijalankan oleh pihak sekolah selaku tuan rumah. Akhir sekali, semoga dengan kerjasama yang jitu antara barisan AJK Pelaksana Program dan pihak PPD Sepang diharap dapat memastikan perjalanan program MTQSS yang berlangsung pada hari Sabtu ini berjalan dengan lancar. 

Guruh berdentum bumi bergegar,
Ayam jaguh sedang bersabung,
Biar lelah sampai tersandar,
Ayuh bersatu tanggungjawab didukung.

Saturday, 24 February 2018

Program Kem Bestari Solat Tahun 1 2018



Solat merupakan satu tuntutan wajib yang penting bagi setiap individu yang bergelar muslim. Pelaksanaan Solat yang baik dan tepat membolehkan pengamalnya menerima impak yang hebat di dalam kehidupan seharian. Justeru itu, program Kem Bestari Solat perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memastikan kejayaan program j-QAF. Kerjasama dan hubungan yang erat antara sekolah dan ibubapa amat penting bagi memastikan hasrat murni dapat dijayakan.
Oleh yang demikian, Panitia Pendidikan Islam SK Taman Putra Perdana telah menganjurkan Kem Bestari Solat buat kali pertama pada tahun ini dengan sasaran murid Islam tahun 1 seperti ketetapan berikut:


Tarikh: 24 Februari 2018
Hari: Sabtu
Masa: 7.30 pagi – 12.00 tengahari
Tempat: SK Taman Putra Perdana


Seramai 18 orang guru Pendidikan Islam sesi petang telah menjayakan kem ini mengikut perancangan yang dijadualkan dengan kehadiran murid yang sangat memberansangkan. Semua aktiviti dapat dilaksanakan dengan baik mengikut atur cara yang disediakan.

Atur Cara Program
7.30 pagi: Pendaftaran Murid
8.00 pagi: Tayangan Video Wuduk
8.45 pagi: LDK dan Amali Wuduk
9.30 pagi: Rehat
9.50 pagi: Tayangan Video Solat
10.30 pagi: LDK Solat
11.15 pagi: Amali Solat
12.00 tengahari: Bersurai

Tayangan video wuduk dan penerangan disampaikan oleh Ustaz Hadri

Murid-murid bersemangat untuk menjawab soalan semasa sesi soal jawab tayangan wuduk
LDK Wuduk


Ustaz Hafiz sedang menunjukkan cara berwuduk yang betul



Amali wuduk oleh murid dengan binbingan ustaz ustazah mengikut kumpulan

Murid begitu khusyuk mendengar ceramah ringkas dan tayangan video solat yang disampaikan oleh Ustaz Saiffol
Antara murid yang terpilih untuk menyebut lafaz niat solat fardhu

Murid mendapat cenderahati setelah dapat menjawab soalan dengan betul

LDK Solat

Amali Solat Fardhu Zohor

Amali Solat

Amali Solat

Amali Solat



Semoga segala usaha dan tunjuk ajar yang diberikan menjadi panduan kepada semua murid dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang muslim. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat! In Shaa Allah jumpa lagi di kem akan datang.


Disediakan Oleh,
Nur Azizati dan Ummu Athiah
Guru Pendidikan Islam