Thursday 15 February 2018

Solat Zohor Berjemaah Sebelum Aktiviti Kokurikulum Sekolah 2018

Aktiviti kokurikulum Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana telah diadakan pada setiap hari Rabu bagi setiap minggu. Sehubungan dengan itu, atas inisiatif Panitia Pendidikan Islam, semua pelajar islam yang terdiri daripada pelajar tahun 4, 5 dan 6 diwajibkan untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah. Hal ini bertujuan untuk membudayakan pelajar untuk sentiasa melaksanakan tuntutan solat fardhu di samping mendisiplinkan pelajar agar sentiasa menjaga solat yang merupakan tiang agama.

Oleh kerana bilangan pelajar sesi pagi yang terlalu ramai, solat zohor berjemaah telah dilakukan di dua tempat yang berbeza. Bagi pelajar lelaki, solat zohor berjemaah bertempat di Dewan Perdana manakala pelajar perempuan pula di surau. Guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab ditugaskan untuk menjadi imam dan imamah solat mengikut giliran yang telah disediakan bagi setiap minggu.

Pelajar perempuan sedang menunaikan solat zohor berjemaah


Pelajar perempuan menunaikan solat zohor yang diimamkan oleh guru Pendidikan Islam, Puan Norzainon


Memandangkan jumlah pelajar yang ramai, pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan yang pertama akan berehat dahulu di kantin sementara menunggu kumpulan kedua menunaikan solat zohor. Selepas itu, barulah kumpulan yang kedua menunaikan solat dan kumpulan yang telah menunaikan solat berehat di kantin.

Semoga inisiatif ini dapat membentuk jiwa pelajar yang sentiasa menjaga aspek kerohanian dalam diri mereka di samping aspek jasmani, emosi dan intelek yang dapat dipupuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung mahupun tidak langsung di dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah.

Meskipun keadaan agak sukar oleh kekangan masa & tempat namun kewajipan ini tidak pernah diabaikan dalam kita melaksanakan arahan KPM untuk mengadakan aktiviti kokurikulum setiap minggu. Besarlah harapan kami agar surau yang lebih besar dapat dibina secepat mungkin agar anak-anak kita akan lebih selesa bersolat secara berjemaah ini pada masa depan.

حي على الصلاة
)marilah menunaikan solat)

حي على الفلاح
)marilah menuju kejayaan)

No comments:

Post a Comment