Tuesday, 15 May 2018

Ramadan Bakal Menjelma..

Ramadan Bakal Menjelma..

Jom Siapkan diri kita dengan:

PERTAMA:
Berdoa Dipertemukan Ramadhan
Banyakkan berdoa agar diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan. Buka setakat bertemu, bahkan agar Ramadhannya penuh makna. Demikian amalan para Salafussoleh. Antara rangkap doa yang dipanjatkan:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ ، وَسَلِّمْ لِي رَمَضَانَ ، وَتَسَلِّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah, serahkan diriku ini kepada Ramadhan, serahkan Ramadhan kepadaku, dan terimalah (amalan) Ramadhan daripadaku.”

KEDUA:
Azam Tadabbur Al-Quran
Ramadhan bulan Al-Quran. Sambutlah bulan Ramadhan dengan membanyakkan bacaan Al-Quran.

Pesan Nabi Muhammad S.A.W: “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran akan memberi syafaat kepada tuannya pada hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

KETIGA:

Rancang Ramadhan Terbaik
Sebelum mula berpuasa, paling utama niat untuk menjadikan Ramadhan tahun ini adalah yang sangat terbaik. Jadi, harus ada pelan tindakannya. Buat jadual sepanjang Ramadhan dan rancang aktiviti sepanjang Ramadhan juga.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesiapa yang berpuasa dengan iman dan mengharapkan reda Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

KEEMPAT:
Lebatkan Dengan Taubat
Bagaimana prestasi amalan kita sejak Ramadhan yang lepas? Masya-Allah, azam untuk beramal selepas Ramadhan terbiar. Banyaknya salah silap yang dilakukan sepanjang tahun ini.

Maka dahului kedatangan Ramadhan kali ini dengan taubat selebat-lebatnya. Benar, pintu taubat sentiasa terbuka. Allah S.W.T suka orang yang bertaubat. Sabda Nabi S.A.W: “Allah S.W.T sangat gembira dengan taubat seseorang pada saat taubatnya. Kegembiraan itu lebih daripada kegembiraan seseorang yang bermusafir di tengah-tengah padang kemudian tunggangannya terlucut lari bersama segala bekalan makan minumnya. Dia pun berputus asa, hanya mampu duduk berteduh di bawah pokok. Tiba-tiba tunggangannya ada di tepinya lalu segera dia memegang tali kekangnya.”

Lantas dia mengucapkan: “Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu!” dia tersasul kerana sangat gembira.” (Riwayat Bukhari & Muslim)


Mustajabnya Ramadhan..

Allah S.W.T menetapkan perintah berpuasa Ramadhan dalam Surah Al-Baqarah bermula ayat 183 – 187. Menariknya dalam ayat 186 Allah menyebut tentang doa: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kamu tentang-Ku, katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan doa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka laksanakan perintah-Ku dan berimanlah kepada-Ku, moga kamu selalu mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah 2:186)

Sesungguhnya manusia dalam hidupnya sering menemui kesusahan, kesempitan, kekurangan harta, ketakutan dan seumpanya sangat memerlukan pertolongan. Justeru Allah yang sangat mengenali diri insan lemah ini menganjurkan supaya berdoa dan memohon pertolongan kepada-Nya agar keluar dari segala kesukaran hidup dan diberi kekuatan khususnya dalam bulan Ramadhan.

Disediakan oleh:
Puan Nurulhuda Binti Hasbullah
Ketua Panitia Agama Islam

No comments:

Post a Comment