Sunday 1 July 2018

Adab Berkunjung Ke Rumah Terbuka

Setelah sebulan berpuasa, Aidilfitri menjelang tiba….

Kemeriahan Aidilfitri masih lagi dirasai dan tentunya ramai yang kini sedang mengunjungi rumah terbuka yang diadakan oleh saudara mara mahupun sahabat. Jadi, jangan lupa untuk menjaga kelakuan anda ketika berkunjung ke rumah terbuka.

Di sini, ada 10 adab ketika berkunjung ke rumah terbuka atau jemputan sewaktu raya:

1) Periksa Tarikh Dan Masa
Sebelum anda membuat kunjungan ke rumah terbuka adalah lebih baik jika anda memastikan tarikh dan masa yang telah dimaklumkan oleh tuan rumah itu adalah betul. Ini untuk memastikan agar tuan rumah lebih bersedia untuk menyambut kedatangan anda. Pastikan juga anda tidak datang berkunjung terlalu awal kerana tuan rumah pasti ingin meluangkan masa bersama ahli keluarganya terlebih dahulu.

2) Pastikan Jemputan
Jika anda diberikan kad undangan, pastikan siapa yang boleh anda bawa bersama sewaktu majlis rumah terbuka. Mungkin tuan rumah hanya menjemput anda seorang atau pasangan sahaja dan jika dia menjemput ahli keluarga anda maka ia tidak menjadi sebarang masalah. Perkara ini perlu diambil berat kerana tuan rumah mungkin sudah membuat persiapan dan anggaran berapa ramai kunjungan yang dijemput untuk memastikan makanan yang disediakan adalah mencukupi.
  
3) Berjumpa Dengan Tuan Rumah Dan Ahli Keluarga
Sebaik sahaja tiba, janganlah terus meluru ke meja hidangan tanpa berjumpa dengan tuan rumah terlebih dahulu. Bertegur sapalah dengan tuan rumah dan dengan semua ahli keluarga tuan rumah yang hadir pada majlis rumah terbuka itu.

4) Pantau Kelakuan Anak Anda
Jika anda bercadang untuk membawa anak kecil ke kunjungan rumah terbuka maka pastikan anda pantau kelakuan anak anda. Jangan biarkan anak anda membuat kotor di rumah tuan rumah. Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk mendidik anak anda supaya menjaga kelakuan mereka ketika berada di tempat awam atau ketika di rumah orang lain. Didik mereka agar makan dengan sopan supaya mereka tidak mengotorkan rumah tuan rumah dan akhirnya menambahkan kerja mereka untuk mengemaskan rumah di kemudian hari.

5) Makan Berpada-pada
Makan jangan terlalu ikutkan nafsu. Makan sekadar yang anda mampu dan jangan tamak atau gelojoh. Jika anda lihat ramai yang sedang bersesak untuk mengambil makanan, jangan anda keruhkan keadaan sebaliknya bersabar dan biarkan yang lain mengambil makanan terlebih dahulu.

6) Jangan Mengadu Kalau Makanan Habis
Jangan sesekali mengadu sekiranya makanan yang disediakan habis. Sebagai manusia biasa, tuan rumah hanya mampu merancang dengan baik untuk menjamu tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Banyakkan bersabar dan jika anda masih berasa lapar, anda boleh pulang ke rumah untuk menjamu selera lagi.
  
7) Elakkan Duduk Terlalu Lama
Elakkan dari menghabiskan masa yang terlalu lama di rumah terbuka. Luangkan masa lebih kurang 10 minit ke 20 minit atau mengikut kesesuaian ketika berada di rumah terbuka. Tuan rumah biasanya akan sibuk melayan pengunjung yang lain. Jadi beransur pulang dengan cepat untuk memberikan tempat kepada pengunjung lain yang datang.

8) Beri Duit Raya
Kebiasaannya, tuan rumah yang akan memberikan duit raya kepada anak anda tetapi tidak salah jika anda juga memberikan duit raya kepada anak tuan rumah apabila berkunjung ke rumah terbuka.

9) Jangan Benarkan Anak Membuka Sampul Duit Raya
Pastikan anak anda tidak membuka sampul duit raya di hadapan khayalak ramai mahupun di depan tuan rumah. Situasi ini tidak disenangi oleh tuan rumah kerana mungkin tuan rumah yang kurang berada hanya dapat memberi jumlah duit raya yang sedikit. Pastikan anak anda tidak membandingkan jumlah duit raya yang diterimanya di setiap kunjungan ke rumah terbuka. Ini adalah sikap yang kurang baik.

10) Pulang Dengan Senyuman
Jangan lupa untuk maklumkan kepada tuan rumah jika anda sudah mahu pulang atau meninggalkan majlis rumah terbuka itu. Jangan terus pulang tanpa berkata apa-apa kepada tuan rumah. Ucapkan terima kasih kepada tuan rumah atau undangan dan layanan yang diberikan.

Belum terlambat untuk kami daripada Panitia Agama Islam SKTPP untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri…
                            
“”Minal Aidil Wal Faizin…””

Disediakan oleh:
Ustazah Nurulhuda Hasbullah

No comments:

Post a Comment