Sunday 25 February 2018

Program Kem Bestari Solat Tahun 1 2018



Solat merupakan satu tuntutan wajib yang penting bagi setiap individu yang bergelar muslim. Pelaksanaan Solat yang baik dan tepat membolehkan pengamalnya menerima impak yang hebat di dalam kehidupan seharian. Justeru itu, program Kem Bestari Solat perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memastikan kejayaan program j-QAF. Kerjasama dan hubungan yang erat antara sekolah dan ibubapa amat penting bagi memastikan hasrat murni dapat dijayakan.
Oleh yang demikian, Panitia Pendidikan Islam SK Taman Putra Perdana telah menganjurkan Kem Bestari Solat buat kali pertama pada tahun ini dengan sasaran murid Islam tahun 1 seperti ketetapan berikut:


Tarikh: 24 Februari 2018
Hari: Sabtu
Masa: 7.30 pagi – 12.00 tengahari
Tempat: SK Taman Putra Perdana


Seramai 18 orang guru Pendidikan Islam sesi petang telah menjayakan kem ini mengikut perancangan yang dijadualkan dengan kehadiran murid yang sangat memberansangkan. Semua aktiviti dapat dilaksanakan dengan baik mengikut atur cara yang disediakan.

Atur Cara Program
7.30 pagi: Pendaftaran Murid
8.00 pagi: Tayangan Video Wuduk
8.45 pagi: LDK dan Amali Wuduk
9.30 pagi: Rehat
9.50 pagi: Tayangan Video Solat
10.30 pagi: LDK Solat
11.15 pagi: Amali Solat
12.00 tengahari: Bersurai

Tayangan video wuduk dan penerangan disampaikan oleh Ustaz Hadri

Murid-murid bersemangat untuk menjawab soalan semasa sesi soal jawab tayangan wuduk
LDK Wuduk


Ustaz Hafiz sedang menunjukkan cara berwuduk yang betul



Amali wuduk oleh murid dengan binbingan ustaz ustazah mengikut kumpulan

Murid begitu khusyuk mendengar ceramah ringkas dan tayangan video solat yang disampaikan oleh Ustaz Saiffol
Antara murid yang terpilih untuk menyebut lafaz niat solat fardhu

Murid mendapat cenderahati setelah dapat menjawab soalan dengan betul

LDK Solat

Amali Solat Fardhu Zohor

Amali Solat

Amali Solat

Amali Solat



Semoga segala usaha dan tunjuk ajar yang diberikan menjadi panduan kepada semua murid dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang muslim. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat! In Shaa Allah jumpa lagi di kem akan datang.


Disediakan Oleh,
Nur Azizati dan Ummu Athiah
Guru Pendidikan Islam



Friday 23 February 2018

Mesyuarat Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah Bersama PPD Sepang

Pada hari Khamis bersamaan 22 Februari 2018 telah diadakan satu mesyuarat bagi menjayakan program Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) peringkat Daerah Sepang. Mesyuarat ini telah bermula pada jam 12.30 tengah hari bertempat di Terminal Muafakat yang melibatkan semua guru sesi pagi dan petang yang beragama Islam. SKTPP telah mendapat mandat dan kepercayaan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Sepang untuk menjadi tuan rumah bagi program ini bagi tahun 2018.


Mesyuarat Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah Sepang 2018

Kehadiran guru di Terminal Mesyuarat

Mesyuarat ini turut dihadiri 3 orang pegawai Unit Pendidikan Islam & j-QAF PPD Sepang iaitu Ustaz Faizal, Ustaz Emree dan Ustazah Norina (MTQ Perdana) serta pegawai Unit Pendidikan Khas PPD Sepang;  Pn. Zalifah (MTQ PPKI). Bagi memberkati mesyuarat yang berlangsung, Ustaz Mahadir Bin Midun telah memimpin bacaan doa mohon agar segala urusan berjalan dengan lancar. Selepas itu, Puan Hajah Rohaidah Binti Mohd Ali selaku Guru Besar merangkap Pengerusi Program telah memberi ucapan alu-aluan kepada semua yang hadir pada hari tersebut termasuklah mengalu-alukan tetamu yang hadir sama.

Ustaz Faizal, Penolong Pengarah Unit j-QAF Pejabat Pendidikan Daerah Sepang selaku Penyelaras Utama program

Ustaz Emree & Ustazah Norina selaku Penyelaras Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Sepang turut sama menyertai mesyuarat ini.

Pn. Zalifah pegawai PPKI PPD Sepang hadir sama

Mesyuarat ini membincangkan tentang perjalanan program yang akan berlangsung pada 10 Mac 2018 bersamaan hari Sabtu bertempat di SKTPP. Ketua Panitia Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana, Puan Nurulhuda Binti Hasbullah telah memberikan penerangan tentang Majlis Tadarus Al-Quran dari segi matlamat dan objektif penganjurannya diadakan serta membentangkan senarai ahli jawatankuasa pelaksana bagi program tersebut. 

Sebagai makluman, Majlis Tadarus Al-Quran di sekolah ini melibatkan murid aliran perdana (SR) serta aliran pendidikan khas (SR & SM). Oleh itu, mesyuarat ini turut melibatkan penerangan tentang perjalanan program bagi pelajar-pelajar pendidikan khas. Antara acara yang akan dipertandingkan ialah pertandingan tilawah al-quran, hafazan dan bercerita bagi kategori lelaki dan perempuan (aliran perdana & PPKI) dan tambahan khat, azan subuh (PPKI) dan syarahan (PPKI SM sahaja).

Ustaz Faizal turut memberikan ucapannya bagi pihak Pejabat Pendidikan Daerah Sepang. Beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh guru-guru SKTPP yang hampir semua dilantik sebagai AJK MTQ Daerah. Beliau turut memberi peluang kepada semua guru untuk mengutarakan persoalan atau hal-hal berbangkit mengenai program ini.

Sebahagian guru yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Guru-guru memberikan tumpuan semasa taklimat sedang berlangsung.

Mesyuarat berakhir dengan ucapan penangguhan daripada Guru Besar dan beliau memaklumkan bahawa satu lagi mesyuarat akan diadakan pada 8 Mac 2018. Mesyuarat berakhir pada jam 1.45 petang.

Wednesday 21 February 2018

Majlis Pelancaran Jaulah Imtiyaz 4.0

Majlis Pelancaran Jaulah Imtiyaz 4.0 telah diadakan pada
Tarikh: 20 Feb 2018
Hari: Selasa
Masa: Jam 7.30 - 8.00 pagi (Perhimpunan Sesi Pagi)
         : Jam 1.30 - 2.00 petang (Perhimpunan Sesi Petang)

Majlis yang gemilang ini dijadikan tradisi atau aktiviti tahunan Lajnah Al-Lughah Al- Arabiyyah / Panitia B. Arab SKTPP bagi meraikan murid-murid cemerlang B. Arab. Majlis ini telah dirasmikan oleh Puan Hjh. Rohaidah Mohd Ali, Guru Besar SKTPP. 

Hari ini merupakan hari penuh debaran murid-murid mendengar pengumuman secara rasmi nama peserta yang terpilih sebagai murid cemerlang B. Arab. Semestinya murid-murid amat gembira dan teruja apabila nama mereka diumumkan sebagai murid pilihan. Syabas!

Guru-guru B. Arab bersepakat menilai murid-murid cemerlang seramai 80 orang sahaja. Pilihan adalah berdasarkan markah cemerlang B. Arab dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2017, Peperiksaan Pertengahan Tahun 2017 serta adab mithali murid.

Alhamdulillah, tahun ini adalah tahun keempat Program Jaulah Imtiyaz dijalankan. Sambutan amat menggalakkan dari kalangan murid-murid serta sokongan ibu bapa dan guru. Ini jelas terbukti objektif Panitia B. Arab melahirkan murid cemerlang pangkat A dalam subjek B. Arab telah mencapai bilangan yang amat menakjubkan. Jelaslah, Program Jaulah Imtiyaz ini menjadi sumber motivasi dan inspirasi murid-murid berlumba-lumba meningkatkan prestasi B. Arab dan mencintai bahasa Syurga ini.

Insha Allah, pasti gembira dan seronok mengikuti Program Jaulah (Lawatan) ini nanti iaitu pada 28 Februari 2018.  Semoga dengan izinNya, kali ini murid-murid akan dibawa melawat:
- Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.
Akan dibawa melawat dan mendengar perkongsian ilmu di Fakulti B. Arab dan Perpustakaan USIM.
- Muzium Negeri Sembilan, Seremban.
Murid akan menyaksikan tinggalan sejarah, barangan dan alat-alat tradisional masyarakat di Negeri Sembilan.
- Masjid Negeri Sembilan.
Murid akan mendengar taklimat, lawatan masjid, makan tengah hari secara percuma dan solat Zuhur di masjid ini.
- Kilang Yakult.
Pastinya murid akan melawat kilang, cara penghasilan air Yakult serta sukakan minuman ini.

Gambar-gambar kenangan istimewa murid-murid cemerlang B. Arab ketika Majlis Perasmian Jaulah Imtiyaz 4.0 seperti di bawah:














Tahniah dan syabas pada semua yang terlibat.
Semoga Lajnah Al-Lughah Al-Arabiyyah SKTPP berjaya melahirkan murid-murid yang mencintai dan menghayati bahasa al-quran dan bahasa syurga ini.
Insha Allah.


Disediakan oleh;
Puan Norziani Zubir.
Muallimah Al-Lughah Al-Arabiyyah SKTPP.

Thursday 15 February 2018

Solat Zohor Berjemaah Sebelum Aktiviti Kokurikulum Sekolah 2018

Aktiviti kokurikulum Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana telah diadakan pada setiap hari Rabu bagi setiap minggu. Sehubungan dengan itu, atas inisiatif Panitia Pendidikan Islam, semua pelajar islam yang terdiri daripada pelajar tahun 4, 5 dan 6 diwajibkan untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah. Hal ini bertujuan untuk membudayakan pelajar untuk sentiasa melaksanakan tuntutan solat fardhu di samping mendisiplinkan pelajar agar sentiasa menjaga solat yang merupakan tiang agama.

Oleh kerana bilangan pelajar sesi pagi yang terlalu ramai, solat zohor berjemaah telah dilakukan di dua tempat yang berbeza. Bagi pelajar lelaki, solat zohor berjemaah bertempat di Dewan Perdana manakala pelajar perempuan pula di surau. Guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab ditugaskan untuk menjadi imam dan imamah solat mengikut giliran yang telah disediakan bagi setiap minggu.

Pelajar perempuan sedang menunaikan solat zohor berjemaah


Pelajar perempuan menunaikan solat zohor yang diimamkan oleh guru Pendidikan Islam, Puan Norzainon


Memandangkan jumlah pelajar yang ramai, pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan yang pertama akan berehat dahulu di kantin sementara menunggu kumpulan kedua menunaikan solat zohor. Selepas itu, barulah kumpulan yang kedua menunaikan solat dan kumpulan yang telah menunaikan solat berehat di kantin.

Semoga inisiatif ini dapat membentuk jiwa pelajar yang sentiasa menjaga aspek kerohanian dalam diri mereka di samping aspek jasmani, emosi dan intelek yang dapat dipupuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung mahupun tidak langsung di dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah.

Meskipun keadaan agak sukar oleh kekangan masa & tempat namun kewajipan ini tidak pernah diabaikan dalam kita melaksanakan arahan KPM untuk mengadakan aktiviti kokurikulum setiap minggu. Besarlah harapan kami agar surau yang lebih besar dapat dibina secepat mungkin agar anak-anak kita akan lebih selesa bersolat secara berjemaah ini pada masa depan.

حي على الصلاة
)marilah menunaikan solat)

حي على الفلاح
)marilah menuju kejayaan)