Monday 7 October 2019

Majlis Sambutan Awal Muharram 1441H Sesi Pagi

Pada 4 Oktober 2019 (Jumaat) Panitia Pendidikan Islam SK Taman Putra Perdana telah menganjurkan program Sambutan Awal Muharram 1441H. Sambutan Awal Muharram merupakan program tahunan dalam panitia Pendidikan Islam yang diadakan bagi memberi pendedahan serta kefahaman tentang peristiwa penting dalam bulan hijrah.

Awal Muharam merupakan suatu hari penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah. Para muhajir telah meninggalkan tanah air, kekayaan, keluarga dan sahabat kerana menyahut seruan ILAHI dan Rasul Nya.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 20 surah At-Taubah, bermaksud:“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.

"Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan.” 

Program ini dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada semua murid dan juga warga sekolah agar lebih memahami perjalanan penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah dalam melaksanakan usaha dakwah baginda suatu ketika dahulu. Hijrah melambangkan keikhlasan dan pengabdian seorang hamba demi keimanan dan keyakinan kepada ALLAH dan syariat Nya.

Gimik pelancaran program telah disempurnakan oleh Pn Azizah Binti Mokhlas bagi mewakili Guru Besar Pn Hajah Rohaidah Binti Mohd Ali yang menghadiri Majlis Apresiasi Dato' Menteri Besar Selangor Bersama Majlis Guru Besar (MGB) Selangor. Semua guru dan murid menyanyikan lagu Maal Hijrah bersama-sama usai gimik perasmian program. Majlis diteruskan dengan penyampaian ceramah oleh Ustaz Muhammad Emre Bin Abdul Razak hafizahullah, seorang penceramah yang hebat dan santai. Beliau mengajak warga SKTPP bersama-sama menghayati perjuangan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijratul Rasul. Aktiviti kuiz pula dilakukan pada akhir ceramah oleh Ustazah Nurulhuda Binti Hasbullah.

Berikut gambar-gambar sepanjang majlis berlangsung.

Pengacara Majlis Ustaz Ahmad Zubair Bin Haji Muhamad Taib

Bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Mustafid Bin Mat Shariff

Gimik Perasmian Program

Nyanyian Lagu Maal Hijrah

Nyanyian Lagu Maal Hijrah

Ustaz Emre menyampaikan ceramah Awal Muharam

Murid-murid menunjukkan minat yang mendalam tentang kisah hijrah Nabi Muhammad s.a.w

Murid SKTPP memberi kerjasama & berdisiplin bahkan mendapat pujian dari penceramah

Padat & jitu intisari ceramah Ustaz Emre

Kuiz dari Ustazah Nurulhuda di akhir ceramah