Monday 30 August 2021

MALAYSIA #QURANHOUR Peringkat SK Taman Putra Perdana

Alhamdulillah, Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Ujana Ilmu SK Taman Putra Perdana telah turut serta bersama-sama seluruh warga SKTPP menjayakan program MALAYSIA #QURANHOUR (MQH) tengah hari tadi selama satu jam di kediaman masing-masing bersama keluarga tercinta.

Program MALAYSIA #QURANHOUR  (MQH) ini adalah anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation bersama TV AlHijrah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan dijalankan secara serentak di seluruh negara pada setiap tahun.

Program yang telah dijalankan beberapa tahun ini menyeru agar semua rakyat Malaysia dapat bersama-sama membaca dan menghayati al-Quran.

Objektif program ini adalah :

1. Sebagai satu medium bagi warga SKTPP berhimpun bersama-sama membaca al-Quran dan menghayatinya.

2. Sebagai wadah menggalakkan penglibatan warga SKTPP dalam menyokong dan memantapkan pelaksanaan program MALAYSIA #QURANHOUR (MQH).

3. Menyemai rasa cinta al-Quran dalam warga SKTPP.

4. Memperkukuhkan kefahaman al-Quran terutamanya Surah Al Mulk dan kaitannya dengan 7 surah Musabbihat sebagai formula kejayaan untuk membentuk sebuah negara yang harmoni, progresif dan utuh berdasarkan prinsip yang diformasi daripada al-Quran.


Buku Program

Program kali ini mensasarkan warga SKTPP serta  ibubapa bagi mengajak keluarga bersama-sama meluangkan masa selama sejam bermula jam 12.00 hingga 1.00 tengah hari pada 30 Ogos 2021 yang bersiaran secara langsung melalui TV AlHijrah dalam suasana norma baharu.


Poster hebahan program Malaysia #QuranHour

Terdapat tiga motivasi Surah Al Mulk, iaitu keberkatan, ingat kematian dan baiki amalan diterjemahkan dengan lebih mendalam, istimewa pada bulan kemerdekaan ini dalam MALAYSIA #QURANHOUR (MQH).


Sama-sama kita menjadikan surah al-Mulk serta tujuh surah Musabbihat sebagai formula Malaysia berbudi dan penyayang.



Sekitar Pelancaran Live dari TV AlHijrah




Murid-murid dari 2 Zircon bersama-sama menonton dari TV AlHijrah

Melalui program MALAYSIA #QURANHOUR (MQH) ini, diharap dapat melahirkan insan yang celik al-Quran serta faham isi kandungannya, serta dapat melahirkan generasi al-Quran yang berilmu, beradab mulia serta menjadikan ajaran al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan. 




Murid-murid dari 3 Debian yang mengambil peluang bersama-sama menonton siaran langsung dari TV AlHijrah





Antara murid-murid SKTPP yang turut serta

Walaupun hanya sejam yang diluangkan bagi menjayakan program ini, ia tetap memberi makna kerana alunan ayat suci yang dibaca atau didengari memiliki keistimewaan yang mampu menundukkan hati yang keras.

Akhir kata, jutaan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan di atas penglibatan warga SKTPP serta ibu bapa sempena program MALAYSIA #QURANHOUR 2021.


Laporan disediakan oleh : Puan Rabihah binti Amirudin.

Sunday 15 August 2021

Program Tahsin Surah al-Fatihah Anjuran Unit Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) 2021

Program ini telah berlangsung pada 15 Ogos 2021 bersamaan 6 Muharram 1443 Hijrah. Program yang berlangsung selama dua jam ini telah disertai oleh 119 orang murid yang terpilih di bawah Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ). Seramai 8 orang Fasilitator dari kalangan guru SK Taman Putra Perdana telah dilantik bagi menjayakan program ini. Peserta program dibahagikan kepada 8 buah kumpulan dan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) telah dilakukan secara dalam talian yang menggunakan medium aplikasi "Google Meet".

Nama Program Tahsin Surah al-Fatihah ini yang terdiri daripada perkataan Bahasa Arab iaitu "Tahsin" bermaksud program untuk memperelok atau memperbaik bacaan surah al-Fatihah murid-murid yang terpilih. Hal ini disedari amat penting kerana surah al-Fatihah adalah salah satu rukun dalam solat. Selain itu, banyak lagi kelebihan dan keistimewaan surah ini, antaranya sebagai surah pembuka kepada kitab suci al-Quran serta ayat penyembuh dan penawar paling mudah untuk diamalkan. 

Program ini merangkumi beberapa sesi Latihan Dalam Kumpulan iaitu Sesi Pra (Tasmik awal), Sesi Pengisian dan Pengenalan, Sesi Bedah Bacaan, Sesi Pasca (Tasmik Akhir) dan Sesi Latihan Interaktif. Setiap Fasilitator menjalankan sesi LDK dalam kumpulan masing-masing. Alhamdulillah, Program ini berjalan dengan lancar sehingga tamat serta kehadiran murid juga sangat memberangsangkan. Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan kerana ianya sangat bermanfaat kepada murid-murid serta ibu bapa murid yang terlibat.

Di bawah disertakan gambar dan video sepanjang program berlangsung :

Poster rasmi Program

Buku program bahagian hadapan

Buku program bahagian belakang


Sesi Pra (Tasmik awal) : Peserta membaca surah al-Fatihah dan dinilai oleh Fasilitator.

Sesi Pengisian dan Pengenalan : Peserta mendengar penerangan daripada Fasilitator mengenai asbabun nuzul serta kelebihan dan keistimewaan surah al Fatihah

Sesi Bedah Bacaan : Fasilitator menerangkan kepada peserta ciri-ciri bacaan yang salah dan peserta mengikut bacaan fasilitator yang betul. 

Sesi Pasca (Tasmik Akhir) : Peserta memperdengarkan bacaan surah al-Fatihah sekali lagi dengan bacaan yang betul dan lebih baik daripada ketika Sesi Pra.



Sesi Latihan Interaktif : Peserta bermain kuiz secara dalam talian dan keputusan akhir dinilai oleh Fasilitator masing-masing.






Semua peserta mengikuti sesi Latihan Dalam Kumpulan bersama fasilitator masing-masing dengan tekun


Video semasa Latihan Interaktif dijalankan


Video barisan Fasilitator bersama para pentadbir SK Taman Putra Perdana

Sekian laporan Program Tahsin Surah al-Fatihah tahun 2021. Terima kasih kerana membaca...

Saturday 14 August 2021

Program Sambutan Awal Muharram Peringkat Sekolah 2021/1443H

Pada 14 Ogos 2021 (Sabtu), pada jam 8.15 hingga 9.15 malam telah berlangsung program Sambutan Awal Muharram Peringkat Sekolah bagi tahun 2021/1443H di bawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam SK Taman Putra Perdana. Majlis ini berlangsung secara atas talian melalui medium Youtube Live dan FB Musalla Raudatul Ilmi. Majlis berlangsung selama 1 jam itu telah dihadiri oleh Guru Besar, barisan Penolong Kanan, YDP PIBG serta warga SKTPP.

Sambutan Awal Muharam merupakan program tahunan dalam panitia Pendidikan Islam yang diadakan bagi memberi pendedahan serta kefahaman tentang peristiwa penting dalam bulan hijrah. Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baru di dalam kalendar (takwim) Islam di  mana ia akan disambut oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Program ini dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada semua murid dan juga warga sekolah agar lebih memahami perjalanan penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah dalam melaksanakan usaha dakwah baginda suatu ketika dahulu. Tema Sambutan Awal Muharram tahun ini ialah "Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti". Bertitik tolak daripada peristiwa hijrah tersebut, diharap kita mengambil ikhtibar bahawa Ukhuwah Islamiah yang kuat dan jitu asas kepada perpaduan dan kesatuan ummah.

Antara objektif Program Sambutan Awal Muharam ini ialah : 

1) Pelajar memahami maksud hijrah yang sebenarnya. 

2) Mengetahui plot penghijrahan Nabi saw dan para sahabat. 

3) Mengambil iktibar dari peristiwa hijrah. 

4) Dapat memberi pemahaman dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

Antara pemakluman yang disampaikan kepada warga sekolah dan murid sebelum diadakan program Sambutan Awal Muharram:

Program ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Syed Farhan bin Syed Abdullah dari awal hingga akhir program dengan berhemah dan berjalan dengan jayanya.

Berikut adalah ucapan daripada Tn Hj Khairul Azhar Bin Muhamad Suffian, Yang Dipertua PIBG SKTPP. 

Seterusnya, kami mendengar pula bait-bait ucapan dari bonda Pn. Hajah Rohaidah binti Mohd Ali, Guru Besar SKTPP. 

Majlis diteruskan dengan santapan rohani sempena Awal Muharam dari Ustaz Zurilazman Bin Abdullah. Dalam sesi tazkirah tersebut, Beliau mengingatkan supaya berhijrah menjadi hamba Allah yang lebih baik dan soleh, menjaga hubungan dengan Allah dan manusia serta menjaga solat. Alhamdulillah, kami berasa sangat bersyukur kerana walaupun kami masih belum dapat ke masjid atau surau mengikuti kuliah-kuliah atas kekangan pandemik Covid-19 yang melanda sekarang, tapi dengan adanya program seumpama ini, rohani kami tetap terisi. Alhamdulillah... 

Usai sesi tazkirah, majlis diteruskan dengan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Zunaidi  Bin Jinalabin. Kemudian tahlil dan doa selamat dipimpin oleh Ustaz Abdul Hafiz. Semoga Allah memberkati dan mengkabulkan segala hajat dan permintaan kami. 


Dengan berakhirnya bacaan doa selamat dan ucapan penutup dari Pengerusi Majlis, maka program kami ditamatkan tepat jam 9.15 malam. Sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan tahniah diberikan buat seluruh ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program kali ini. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. 

Marilah bersama-sama kita berdoa semoga Allah SWT segera mengangkat wabak Covid-19 dari muka bumi ini agar dapat kita teruskan kehidupan kita seperti kebiasaannya sebagai khalifah di muka bumi Allah ini, Insha-Allah.