Saturday, 14 August 2021

Program Sambutan Awal Muharram Peringkat Sekolah 2021/1443H

Pada 14 Ogos 2021 (Sabtu), pada jam 8.15 hingga 9.15 malam telah berlangsung program Sambutan Awal Muharram Peringkat Sekolah bagi tahun 2021/1443H di bawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam SK Taman Putra Perdana. Majlis ini berlangsung secara atas talian melalui medium Youtube Live dan FB Musalla Raudatul Ilmi. Majlis berlangsung selama 1 jam itu telah dihadiri oleh Guru Besar, barisan Penolong Kanan, YDP PIBG serta warga SKTPP.

Sambutan Awal Muharam merupakan program tahunan dalam panitia Pendidikan Islam yang diadakan bagi memberi pendedahan serta kefahaman tentang peristiwa penting dalam bulan hijrah. Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baru di dalam kalendar (takwim) Islam di  mana ia akan disambut oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Program ini dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada semua murid dan juga warga sekolah agar lebih memahami perjalanan penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah dalam melaksanakan usaha dakwah baginda suatu ketika dahulu. Tema Sambutan Awal Muharram tahun ini ialah "Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti". Bertitik tolak daripada peristiwa hijrah tersebut, diharap kita mengambil ikhtibar bahawa Ukhuwah Islamiah yang kuat dan jitu asas kepada perpaduan dan kesatuan ummah.

Antara objektif Program Sambutan Awal Muharam ini ialah : 

1) Pelajar memahami maksud hijrah yang sebenarnya. 

2) Mengetahui plot penghijrahan Nabi saw dan para sahabat. 

3) Mengambil iktibar dari peristiwa hijrah. 

4) Dapat memberi pemahaman dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

Antara pemakluman yang disampaikan kepada warga sekolah dan murid sebelum diadakan program Sambutan Awal Muharram:

Program ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Syed Farhan bin Syed Abdullah dari awal hingga akhir program dengan berhemah dan berjalan dengan jayanya.

Berikut adalah ucapan daripada Tn Hj Khairul Azhar Bin Muhamad Suffian, Yang Dipertua PIBG SKTPP. 

Seterusnya, kami mendengar pula bait-bait ucapan dari bonda Pn. Hajah Rohaidah binti Mohd Ali, Guru Besar SKTPP. 

Majlis diteruskan dengan santapan rohani sempena Awal Muharam dari Ustaz Zurilazman Bin Abdullah. Dalam sesi tazkirah tersebut, Beliau mengingatkan supaya berhijrah menjadi hamba Allah yang lebih baik dan soleh, menjaga hubungan dengan Allah dan manusia serta menjaga solat. Alhamdulillah, kami berasa sangat bersyukur kerana walaupun kami masih belum dapat ke masjid atau surau mengikuti kuliah-kuliah atas kekangan pandemik Covid-19 yang melanda sekarang, tapi dengan adanya program seumpama ini, rohani kami tetap terisi. Alhamdulillah... 

Usai sesi tazkirah, majlis diteruskan dengan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Zunaidi  Bin Jinalabin. Kemudian tahlil dan doa selamat dipimpin oleh Ustaz Abdul Hafiz. Semoga Allah memberkati dan mengkabulkan segala hajat dan permintaan kami. 


Dengan berakhirnya bacaan doa selamat dan ucapan penutup dari Pengerusi Majlis, maka program kami ditamatkan tepat jam 9.15 malam. Sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan tahniah diberikan buat seluruh ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program kali ini. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. 

Marilah bersama-sama kita berdoa semoga Allah SWT segera mengangkat wabak Covid-19 dari muka bumi ini agar dapat kita teruskan kehidupan kita seperti kebiasaannya sebagai khalifah di muka bumi Allah ini, Insha-Allah. 

No comments:

Post a Comment